Thursday, September 15, 2011

Lakaran Kehidupan

Manusia mana yang tak menginginkan kejayaan, sudah menjadi fitrah bagi manusia yang hanya hendak kepada kecemerlangan, tetapi kehidupan membatasi semuanya, kerana kejayaan akan turut dihadiri bersama dengan kegagalan, tidak dapat dipisahkan seperti dakwat dengan kertas, jika terpisah tampak suramlah lukisan kehidupan.

Kejayaan itu jelas, kegagalan itu nyata, kedua-duanya perlu dihadapi bagi mereka yang mengejar sesuatu yang dihajati, jangan takut untuk merasa kegagalan, jangan bimbang untuk mengecapi kejayaan, kita perlu berani dalam menjalaninya, sekiranya anda tidak berani, maka ia sudah memberi pertanda hati kita perlukan motivasi dalam menjadikanya lebih cekal berdepan kegetiran hidup.

Ahli Falsafah dalam mendelfinasikan erti kegagalan menjelaskan bahawa kegagalan hanyalah kekalahan atau ketewasan sementara. Kita boleh mendapat pengajaran serta membina akhlak melalui kekalahan. Kita mesti menerima kegagalan tanpa ada perasaan malu atau aib. Ia hanya merupakan kegagalan sementara dalam kehidupan. Tidak ada salahnya jika mengalami kekalahan sementara. Kegagalan yang sebenar ialah apabila seseorang itu gagal bangkit daripada kekalahan itu.

Perbezaan antara kekalahan sementara dengan kegagalan bergantung kepada penafsiran mental kita. Kekalahan sementara tidak akan menjadi kegagalan sebenar kecuali kita membenarkan keadaan itu berlaku. Kita mempunyai kuasa atau hak untuk membuat pilihan. Pilihlah sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan kemajuan kepada anda.

Contoh seperti Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk mencipta lampu, 999 kali beliau mencuba tanpa berhenti dan meyerah kalah, sehingga suatu hari beliau ditanya "Anda telah mengalami ratusan kegagalan, adakah anda tidak merasa bosan dengan kegagalan-kegagalan yang dialami?, Thomas pun memberitahu dengan jawapan yang lantang "dengan kegagalan-kegagalan itu, saya akan mengetahui ribuan cara agar lampu tidak menyala.” disini dapat dinyatakan sesungguhnya dari kegagalan kita dapat belajar sesuatu. Kegagalan akan membakar semangat anda untuk lebih berjaya.

Allah S.W.T berfirman ; "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan warnanya ( jenis dan rupanya)…” (Fatir:27)

Dalam ayat kita,kita dapat mempelajari bahawa setiap ujian itu harus dihadapi oleh manusia untuk mendapat hasil yang lumayan, bukan itu sahaja, Allah turut hadirkan pelangi yang berwarna warni selepas sahaja hujan berhenti, indah sungguh kehidupan ini jika manusia berani menghadapinya dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Penutup...

Jangan jadikan kegagalan sebagai sebab untuk berhenti dari meneruskan perjuangan, perjuangan tak akan pernah berakhir jika kita selalu mengiyakan, menidakkan perjuangan seolah-olah kita mengiyakan diri kita kedalam kecelakaan..rezeki ada di mana-mana, teruskan mencuba dengan penuh keimanan dan sabar.

Kata seorang pegembara, "untuk berjaya, amalkan 3 M,iaitu mulakan sekarang, mulakan dengan amalan yang kecil, mulakan dengan diri sendiri. Jadi apa tunggu lagi, mulakan merancang.
-SeMoGa DiPerMuDaHkaN UruSaN-

Wednesday, September 14, 2011

Kelahiran Begitu Istimewa

Sedar tak sedar, kita sudah dilahirkan ke dunia, kita datang ke dunia tanpa tahu tujuan dan matlamat sebenarnya. Kita datang tanpa rancangan dan kemahuan terlebih dahulu, dan kita tidak tahu mengapa kita dilahirkan sebagai perempuan dan bukan lelaki atau sebaliknya.

Adakah kita sedar kenapa kita dilahirkan, manusia mula bertanya pada akal dan nafsu, kenapa mereka dijadikan, natijahnya berbagai jawapan yang keluar dari mulut mereka, berbagai definasi pemikiran manusia tentang tujuan penciptaan, amat rugilah bagi mereka yang beranggapan kelahiran ini hanya untuk mengejar kekayaan dunia semata-mata. Harta, pangkat dan darjat menjadi igauan sehingga agama jadi taruhan. Beruntunglah bagi mereka yang mengunakan kelahiran ini sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah yang Maha Pecipta. Allah berfirman ;

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (Adz Dzariyat: 56)

Dalam ayat ini menjelaskan bahawa kelahiran kita ada tujuan, bukan sekadar makan, minum, dan tidur, tetapi tujuan yang terbesar adalah untuk kita beribadah kepadaNYA. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan, “Dalam ibadah itu terkandung mengenal, mencintai, tunduk dan patuh kepada Allah. Bahkan dalam ibadah terkandung segala yang Allah cintai dan ridhoi.

Mari kita hayati mutiara kata ulama besar ini, kita dilahirkan untuk kita beribadah kepada Allah, kita mengenaliNya, kita mencintaiNya dan patuh pada suruhanNya. Rahmat pasti datang menemui kita, begitu juga dengan ibu bapa kita, apabila dilahirkan, kita dinamakan dengan nama-nama yang indah, supaya orang dapat mengenal siapa kita, kita dicintai dan diberi kasih sayang oleh mereka, maka taat dan patuhlah kepada mereka, rahmat pasti datang menemui kita buat kali keduanya, Nabi bersabda ;

"Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan Ibu Bapa, kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan Ibu Bapa"

Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anaknya.

Bersyukurlah dengan kelahiran yang dianugerahkan oleh Allah, berterima kasihlah kepada kedua ibubapa yang menjaga kita dari kecil hingga dewasa. Kelahiran itu satu anugerah terbesar untuk kita mengenal kelahiran yang kekal abadi iaitu di akhirat kelak..
-SeLaMaT HaRi LaHiR buat diriku..-

Wednesday, September 7, 2011

Masalah Itu Bukan Masalah

Dalam kehidupan, setiap manusia pasti akan berhadapan dengan ujian atau masalah, bezanya hanya banyak atau sedikit, hanya kecil atau besar, itulah sifat dunia, dibuktikan dengan satu hadis yang mengatakan "Dunia itu negara bala dan ujian"

Ramai orang menganggap ujian itu adalah masalah, dan mereka tidak suka kepada masalah. Mereka rasa tertekan dengan masalah, akan hilang bahagia, akan hilang ketenangan hidup, akan merasa resah dan gelisah. Bila ditimpa masalah, ia terasa besar,berat dan menyakitkan, hilang selera makan, tidak boleh tidur dan kadang-kadang boleh jatuh sakit.

Kenapa takut kepada masalah...???

Manusia takut kepada kemiskinan, kesakitan dan berbagai-bagai lagi jenis bentuk masalah yang menimpa mereka seperti rugi dalam perniagaan, hilang orang yang disayangi dan sebagainya. Bagi tuhan, ini semua bukan masalah, miskin bukan masalah kerana miskin tidak berdosa, jatuh sakit bukan masalah kerana ia tidak berdosa, begitu juga dengan rugi dalam perniagaan, hilang orang yang disayangi dan sebagainya juga bukan tergolong dalam masalah, kerana semua itu tidak berdosa. Orang tidak masuk ke neraka kerana perkara-perkara seperti ini, tetapi manusia menganggap semua ini masalah, manusia sudah tidak pandai menilai masalah, perkara yang remeh temeh dianggap sebagai masalah sedangkan perkara besar yang sebenarnya masalah langsung tidak dipedulikan.

Masalah yang paling besar....???

Masalah yang paling besar ialah tidak kenal dan tidak takutkan Tuhan, contohnya miskin bukan masalah, tetapi apabila manusia tidak takutkan tuhan, mereka tidak akan sabar dengan kemiskinan. Oleh sebab itu berlakulah jenayah seperti merompak, mencuri dan sebagainya. Ini sudah menjadi masalah, dia sudah melakukan kemungkaran dan dosa, hukumnya adalah neraka.

Kaya juga bukan satu masalah, tetapi apabila manusia tidak takutkan Tuhan, mereka akan menjadi sombong, suka berpoya-poya, membazir, bakhil, dan sebagainya, ini sudah menjadi masalah, dia sudah melakukan kemungkaran, kemungkaran itu adalah dosa, balasannya adalah neraka.

Kenapa didatangkan masalah...???

Tujuan Tuhan menjadikan ujian dan masalah kepada manusia didunia bukan untuk menjadikan kehidupan manusia tersiksa, sengsara dan menderita, bukan untuk menjadikan dunia ini seperti neraka. Apa yang perlu kita faham, neraka itu dikelilingi oleh berbagai perkara yang mengasyikan dan menyeronokan, sebaliknya syurga itu dikelilingi dengan berbagai perkara yang meyakitkan dan menyusahkan. Oleh itu apabila kita ditimpa masalah, beruntunglah kerana kita sedang berada di landasan menuju ke syurga, hanya kita perlu jalani masalah itu dengan penuh sabar dan redha, kalau kita mampu besabar, ujian itu akan bertukar menjadi rahmat. Kita akan mendapat pengampunan dosa dari Tuhan. Sebaliknya kalau kita berada dalam keseronokan, sehingga melalaikan yang membawa kepada kita melupakan Tuhan, adakah kita berada dilandasan yang sama??

Maka apalah salahnya jika kita diuji dengan masalah, masalah dan ujian mendorong kita kembali kepada Tuhan, tempat kita mengadu, memohon, merintih dan meminta tolong kepada Tuhan. Yang benci kepada masalah itu hanyalah nafsu kita. Tuhan datangkan masalah dalam hidup kita untuk mendidik nafsu, jika tidak dididik nafsu akan menjadi subur, ia akan berkembang mekar sehingga menghasilkan buah yang bersarang dihati manusia dan merosakan sistem badan sehingga manusia menjadi sombong, angkuh, hasad dengki dan berbagai-bagai lagi. Maka jelaslah ujian dan masalah itu adalah satu rahmat dan kasih sayang dari Tuhan.

Bagi orang yang nafsunya sudah terdidik, mereka akan merasa ujian dan masalah adalah makananbagi jiwanya, seperti para sahabat, mereka sangat sedih sekiranya tidak diuji dengan masalah, mereka akan merasa tenang apabila diuji denganmasalah, dan merasa gelisah apabila tidak diuji dengan masalah. Mengapa kita tidak begitu?..

Penutup...

Tuhan berfirman dalam sebuah hadis Qudsi
"Maksudnya: kalau kamu diuji, kamu tidak sabar, dan kalau kamu diberi nikmat, kamu tidak bersyukur. Maka keluarlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan carilah Tuhan yang lain selain Aku.."

Pilihan Menjadi Fakir

Golongan fakir tentu melalui kehidupan yagn penuh dengan kesukaran. Mereka bukan sahaja tidak mampu memenuhi keperluan hidup sehari-hari, malah mereka sering dihina dan dicaci, bahkan dipinggirkan daripada masyarakat.

Ada satu kisah, takkala Nabi Muhammad dikunjungi seorang utusan yang mewakili orang-orang fakir dan nabi menerima kunjungan itu dengan baik. Utusan itu berkata"Wahai Rasulullah, saya adalah utusan orang-orang fakir". Nabi menyambutnya dan berkata"selamat datang kepadamu dan mereka yang menghantarmu berjumpa denganku. Allah mencintai golonganmu."

Utusan itu berkata"Wahai Rasulullah, golonganku berkata,"Sesungguhnya orang-orang kaya mampu melakukan amalan dan kebaikan. Mereka mampu mengerjakan haji dan bersedekah, sedangkan kami tidak mampu. Apabila mereka sakit, mereka masih mampu menyimpan harta sedangkan kami tidak boleh."

Nabi menjawab,"Sampaikan salamku kepada mereka dan beritahu kepada golonganmu, sesiapa yang beriman dan bersabar di antara kamu, memperolehi tiga perkara yang tidak dimiliki oleh orang-orang kaya.

Pertama, ada sebuah bilik disyurga yang diperbuat daripada intan berwarna merah. Penghuni syurga dapat melihatnya seperti penduduk dunia melihat bintang di langit. Mereka yang boleh masuk ke dalam bilik itu hanyalah para nabi, wali, syuhada, orang-orang mukmin dan orang-orang fakir.

Kedua, golongan fakir masuk syurga terlebih dahulu daripada orang-orang kaya iaitu berselisih setengah hari. Setengah hari di syurga adalah bersamaan dengan 500 tahun di dunia. Mereka duduk bersenang-senang di dalam syurga, Nabi Sulaiman pula masuk syurga 40 tahun sesudah para nabi yang lain kerana Allah mengurniakan harta dan kerajaan kepadanya sewaktu di dunia.

Ketiga, apabila seorang fakir membaca "Subhanallah walhamdulillah wa laa ilaha ilallahu Allahu akhbar" dengan ikhlas dan orang kaya pun membaca kalimat yang sama, pahala orang kaya itu tidak dapat melebihi pahala orang fakir meskipun orng kaya itu mendermakan hartanya sebanyak 10,000 dirham sekalipun.

Subhanallah, begitu besarnya kelebihan orang-orang fakir yang beriman dan sabar dalam kehidupan berbanding dengan golongan hartawan.

Kesimpulan..

Kaya atau miskin seseorang itu masing-masing punyai peluang memperoleh pahala mahupun dosa. Menjadi kaya atau msikin itu tidak penting, apa yang penting adalah bagaimana manusia menghadapinya. Orang kaya perlu bersyukur, orang miskin pula perlu bersabar, insyALLAH mereka akan peroleh keredaan Allah dan balasan syurga di akhirat nanti.

(Andai syurga dan neraka tak ada)

Monday, September 5, 2011

Berkasih Sayang Kerana Allah

Diceritakan dalam sebuah kitab, mengisahkan seorang lelaki pada hari akhirat, selepas Allah menimbang semua amal perbuatannya, ternyata perbuatan jahatnya lebih berat daripada amal baiknya, jadi,beliau diperintahkan masuk ke neraka. Lelaki itu berasa takut dan cemas, beliau memohon untuk berjumpa dengan ibunya, Allah mengizinkannya dan beliau segera mencari ibunya, beliau berkata"wahai ibuku, engkau membesarkan dan mendidik diriku sejak kecil hingga dewasa, berikan kebaikanmu kepada diriku, supaya aku selamat daripada neraka"

Sayangnnya si ibu tidak dapat membantu,kerana amalannya sendiri sedikit, si ibu berkata"wahai anakku, aku sendiri pun bingung memikirkan diriku sendiri, bagaimana aku dapat menyelamatkanmu?" lelaki itu terus berusaha, kali ini mencari kaum kerabatnya pula,tapi ternyata , tidak ada seorang pun yang mampu membantunya kerana masing-masing sibuk dengan urusan perkiraan amalan sendiri.

Akhirnya Allah memerintahkan malaikat untuk memasukan lelaki tadi ke neraka. Sewaktu dalam perjalanan, tiba-tiba seorang sahabat lamanya di dunia mendekatinya dan berseru,"Aku berikan kepadamu semua kebaikanku supaya salah seorang daripada kita terselamat dari api neraka", ini bererti si sahabat merelakan dirinya sendiri dimasukan ke dalam neraka, Baginya itu lebih baik daripada kedua-duanya mereka masuk neraka. Melalui bantuan sahabatnya, lelaki itu tidak jadi dimasukan kedalam neraka, sebaliknya dimasukan kedalam syurga, tapi lelaki itu tidak mengendahkan nasib sahabat yang membantunya tadi.

Selepas beliau berada di dalam syurga, beliau mendengar seruan, "tidakkah engkau mahu mengucapkan terima kasih kepada sahabatmu yang membantumu dengan rasa kasih sayang? malah engkau meninggalakan sahabatmu masuk ke dalam neraka, sedangkan engkau sendiri di dalam syurga!"

Mendengar seruan itu, barulah lelaki itu tersedar. Dia terus tersungkur dan sujud memohon supaya Allah memberikan pertolongan dan syafaat kepada sahabatnya itu, Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang segera memerintahkan sahabtnya itu masuk ke dalam syurga, dengan demikian, kedua-dua mereka terselamat daripada seksaan api neraka.

Penutup...

Di syurga, manusia tidak lagi terbeban dengan ibadah seperti solat, puasa, haji, zakat dan bersedekah, apa yang tinggal hanyalah bersilaturahim iaitu berkasih sayang, berkasih sayang lah kerana Allah, jangan sampai kita menjadi seperti kebanyakan orang sekarang yang lebih suka berkasih sayang kerana 3 perkara, iaitu HARTA, TAKHTA, dan WANITA!..

(andai syurga dan neraka tidak ada)

Salam Aidilfitri


Assalamualaikum kepada semua pengunjung al-muhasaby,dah tukar nama dah,baru ja kemas kini kan blog,setelah dibiarkan usang tak bertuan,alhamdulillah disertai insyALLAH selepas ni saya akan cuba untuk mengupdate blog ni dari masa kesemasa,insyALLAH..

Dikesempatan ini,ingin saya mengucapakan selamat hari raya aidilfitri dan menyusun sepuluh jari,memohon ampun dan maaf,andai pernah melakukan salah dari aspek perbuatan mahupun perkataan...kullu sanah wa antum thoyib...